SOLAT fardu yang tertinggal wajib diqada. Ulama
membahagikan qada solat kepada dua jenis.
Yang pertama qada solat bagi mereka
yang tertinggal solat dengan keuzuran.
Yang kedua qada solat bagi mereka yang
tertinggal tanpa keuzuran.
Para ulama fikah dalam mazhab al-Syafieyyah,
al-Malikiyyah, al-Hanafiyyah dan al-Hanabilah sepakat mewajibkan bersegera
dalam mengqada solat wajib yang tertinggal tanpa keuzuran. Ini kerana
meninggalkan solat tanpa keuzuran syarak adalah berdosa. Maka bertaubat
daripada dosa dituntut segera.
Dosa yang bertangguh tanpa bertaubat akan mengundang
kemurkaan Allah s.w.t. Selagi tidak qada selagi itulah dosanya dikira. Syarat
taubat daripada dosa ini ialah mengqadakan solat yang tertinggal.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan satu peristiwa yang
bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika pulang menunggang unta dari
peperangan khaibar telah merasakan mengantuk sangat, sehingga baginda bersabda: “Wahai Bilal kita telah ditimpa malam”, maka bilal
menunaikan solat beberapa rakaat yang terdaya oleh beliau, manakala Rasulullah
s.a.w dan para sahabat terus tidur.
Apabila hampir fajar Bilal menyandarkan badan pada
tunggangannya sehingga Bilal tewas dalam mengantuk. Tiada seorang pun dari
kalangan sahabat yang terjaga sehinggalah mereka terasa kepanasan matahari.
Rasulullah s.a.w adalah yang terawal bangun lalu baginda terkejut. Lantaran
Bilal berkata: “Demi ayahku dan ibuku apa yang berlaku pada diriku jualah yang
menimpa dirimu wahai Rasulullah”. Kemudian kesemua sahabat bersiap untuk solat.
Rasulullah s.a.w berwuduk dan menyuruh Bilal iqamat lalu baginda menunaikan
solat fajar dengan mengimami para sahabat.
Apabila selesai menunaikan solat baginda bersabda: “Barang siapa yang melupai solat maka hendaklah dia
menunaikannya apabila dia teringat. Sesungguhnya Allah berfirman yang
bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu,
Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”
(Tahaa:14 ), (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm: 227)
Persoalannya bolehkah qada solat subuh? Sedangkan selepas
subuh adalah waktu haram mendirikan solat. Mungkin ini menjadi asas kepada
pandangan segelintir masyarakat yang menyangka tidak boleh melakukan sebarang
solat selepas waktu subuh walaupun qada solat.
Dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w daripada ‘Uqbah bin
‘Amir memberitahu yang bermaksud: Baginda
Rasulullah telah menegah kami dari menunaikan solat dan mengkebumikan jenazah
pada tiga waktu berikut: ketika terbit matahari sehingga naik tinggi, ketika
matahari berada pada ufuk dan ketika terbenamnya matahari. (riwayat Muslim,
jld:1, hlm:568, Abu Daud, jld:2, hlm:185,).
Namun, solat yang diharamkan selepas solat
fajar ialah solat sunat, adapun solat fardu tidak ditegah dari
melakukannya, ini kerana selagi mana matahari tidak terbit selagi itu waktu itu
waktu solat subuh. (Nuh ‘Ali Salman, Qadha al-Ibadat, hlm: 260-261).
Para Fuqaha dari kalangan mazhab al-Syafieyyah,
al-Malikiyyah dan al-Hanabilah mengharuskan qada solat pada waktu-waktu yang
ditegah dalam hadis di atas dan waktu-waktu lain.
Dr. Wahbah al-Zuhailiy menukilkan pandangan para fuqaha
dengan menyimpulkan dengan pandangan: “Harus mengqada solat fardu yang
tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada melakukan
ibadat ataupun pada waktu biasa, maksudnya qada solat boleh dilakukan bila-bila
sahaja.” (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Fiqh al-Islamiy, jld:2, hlm: 144).
Justeru, dengan nas-nas daripada al-Quran serta hadis dan
pandangan ulama yang muktabar jelas kepada kita bahawa qada ini boleh dilakukan
pada bila-bila sahaja walaupun selepas subuh dan selepas asar.
Ini kerana wajib itu kekal wajib. Wajib dalam waktunya
apabila tidak ditunaikan pada waktunya wajib itu tidak berubah tuntutannya ia
tetap kekal wajib. Malahan orang yang tertinggal solat dengan alasan tertidur,
terlupa wajib bersegera mengqadanya. Selagi mana tidak diqada selagi itulah
hutang solatnya tertanggung atas bahunya.
Solat tidak boleh selesai dengan taubat sahaja. Taubat
atas perbuatan alpa atau buat-buat alpa dan terlupa. Taubat dalam erti kata
menyesal atas sikap acuh tak acuh, dan berjanji dengan Allah dan diri bahawa tidak
akan mengulangi tabiat suka leka dan tidak bersungguh-sungguh dalam memelihara
solat.
(Sumber dari email KPM)
No comments:
Post a Comment